LIVERPOOL - Berita yang paling ditakuti peminat Liverpool akhirnya terbesar luas di Britain semalam, apabila bintang penyerang mereka, Fernando Torres dan penjaga gol, Pepe Reina dikatakan bakal meninggalkan kelab Reds itu apabila pasaran perpindahan pemain dibuka, Januari ini.
Menurut akhbar Daily Mirror, kedua-dua pemain Sepanyol itu bersedia meninggalkan Anfield berdasarkan 'fasal rahsia' yang terkandung dalam kontrak mereka.
Difahamkan, klausa berkenaan ditulis dalam kontrak kedua-dua pemain itu pada musim panas lalu selepas mereka menyuarakan untuk mengikuti jejak bekas pengurus Reds, Rafael Benitez yang meninggalkan kelab untuk menyertai Inter Milan.
Torres dan Reina dipujuk supaya kekal setia kepada Liverpool hanya selepas kelab berkenaan berjanji untuk melabur dalam pembelian lebih ramai pemain baru. Begitupun, kedua-dua tonggak Sepanyol itu menganggap Reds telah mungkir janji ekoran keengganan pemilik baru dari Amerika Syarikat memberikan 'cek kosong' kepada pengurus pasukan, Roy Hodgson.
Menurut laporan, John Henry sudah pun menegaskan, kelab England itu tidak akan melakukan pembelian pemain besar-besaran pada Januari ini, sekalipun sebelum ini berjanji akan mengeluarkan pelaburan besar untuk menguatkan pasukan.
Torres yang menjaringkan dua gol musim ini menjadi sasaran Manchester City, di mana MirrorSky Blues itu bersedia membayar 50 juta pound (RM246 juta) kepada Liverpool untuk mendapatkan sentuhannya. mendakwa, kelab
Reina, penjaga gol yang banyak menyelamatkan gawang Liverpool daripada dibolosi, baru-baru ini dikaitkan dengan dua pesaing Reds, Arsenal dan Manchester United dengan nilai 20 juta pound (RM98 juta).
Menurut Mirror Football, Torres dan Reina akan memaklumkan mengenai hasrat meninggalkan kelab pada Disember ini, sebelum menyertai pasaran perpindahan pemain. Dengan reputasi besar mereka, sudah tentu kedua-dua tonggak Piala Dunia Sepanyol ini bakal menarik minat banyak kelab terkemuka Eropah.
Sementara itu, Manchester United pula dikatakan sedang mengintai pemain tengah Nurnberg, Ilkay Gundogan. Pemain muda berusia 20 tahun itu semakin menyinar dalam saingan Liga Jerman musim ini dan dikatakan dalam perjalanan ke Old Trafford.
Dengan skil yang dimiliki oleh pemain yang memiliki warisan Turki itu, Gundogan dilihat sebagai Mesut Ozil baru, bintang muda Jerman yang diintai United tetapi akhirnya memilih untuk menyertai Real Madrid. Pengurus United, Alex Ferguson percaya, pemain muda itu adalah calon paling sesuai untuk menggantikan Paul Scholes.









